Skip to main content

Bola Sepak

Rizal tetap turun beraksi, Farhan direhatkan

2117cheng-hoe.jpg

Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, tetap akan menurunkan pemain kontroversinya, Mohd Rizal Ghazali, dalam pertembungan menarik Liga Super menentang Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini. 

“Selagi belum ada keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai status Rizal, kami tetap akan menggunakan khidmatnya bagi mengawal benteng Kedah. 

“Saya yakin Rizal mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi dan masalah ini tidak akan mengganggu aksinya di atas padang.

"Kehadirannya penting untuk membantu pertahanan Kedah menahan asakan penyerang Felda United yang diketuai Mat Yo (Norshahrul Idhan Talaha),” katanya.

Namun, nasib berbeza menimpa penjaga gol utama Lang Merah, Farhan Abu Bakar, apabila terpaksa direhatkan malam ini dan tempatnya bakal diisi oleh Abdul Hadi Abdul Hamid atau Ifwat Akmal Che Kassim dalam kesebelasan utama.

“Kami buat keputusan untuk merehatkan Farhan Abu Bakar selepas dia gagal memberikan aksi  terbaik semasa perlawanan menentang Sarawak di Alor Star, minggu lepas.

“Saya akan membuat keputusan terakhir sama ada ingin menurunkan Ifwat Akmal atau Abdul Hadi dalam kesebelasan utama berdasarkan prestasi semasa mereka dalam sesi latihan terakhir,” katanya.

Cheng Hoe, yang juga dipilih sebagai jurulatih terbaik Liga Malaysia (Liga-M) tahun lepas, mengajak semua penyokong yang tinggal berhampiran stadium untuk turun beramai-ramai menyokong pasukan Lang Merah.

“Kepada penyokong setia Hijau Kuning, mari beramai-ramai memenuhi stadium Tun Abdul Razak untuk memberi sokongan kepada kami. Harap bersabar dengan aksi pada awal musim kerana perjalanan pasukan kita masih panjang,” katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video