Skip to main content

Bola Sepak

Raickovic gembira kekal di Bumi Kenyalang

milos.jpg
Pemain tengah Sarawak, Milos Raickovic, bagaikan tidak percaya bahawa dirinya akan kembali semula ke Kuching selepas Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) membuat pusingan U mengenai polisi pengambilan pemain import.

Tonggak dari Montenegro itu berkira-kira untuk mencari majikan baru pada musim 2018 sebaik sahaja Sarawak tersingkir ke Liga Perdana, namun kehadiran jurulatih baru Sarawak, Ian Gillan, telah mengubah pendirian FAS untuk memberikan lampu hijau bagi mendapatkan pemain import.

Kini, dia dan penyerang, Mateo Roskam, kembali ke pangkuan Sarawak bersama pemain import baru dari Serbia, Nebojsa Marinkovic.

“Ia adalah sesuatu yang baik buat saya, ditambah dengan Marinkovic yang bertutur dalam bahasa yang sama. Kadangkala, ada sesetengah perkara yang tidak dapat diperkatakan dalam Bahasa Inggeris dan perkara ini pastinya mampu membantu Sarawak,” katanya.

Dia yang baru sahaja menerima cahaya mata kedua bulan lalu mengakui semakin selesa bersama Sarawak.

Sejak menyertai skuad Bujang Senang pada pertengahan musim lalu, dia berasakan musim 2018 bakal menjadi detik terbaik untuknya membantu skuad Ngap Sayot kembali ke Liga Super.

“Saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di sini tetapi secara individu, saya gembira dengan permainan yang saya tunjukkan. Saya rasa ia sangat bagus.”

 

Advertisement

Must Watch Video