Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, menuntut anak-anak buahnya mengelak daripada melakukan kesilapan mudah dalam aksi Liga Super bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
“Saya sudah mempersiapkan taktikal terbaik, pemain-pemain tahu tugas masing-masing dan mereka perlu memberi sepenuh perhatian dalam perlawanan itu.
“Di atas kertas, JDT mempunyai kelebihan dari semua sudut, namun jika persembahan terbaik diberikan, kami mampu melakukan kejutan.
“Kami tiada masalah untuk menjaringkan gol, apa yang perlu diberi perhatian adalah konsistensi pemain sepanjang 90 minit permainan,” katanya.
Berazam mencuri sekurang-kurangnya satu mata di Larkin, pengendali berasal dari Indonesia itu juga berkata pasukannya tidak boleh leka kerana JDT pasti mahu mencipta kemenangan selepas tewas kepada Perak, minggu lalu.
“Selain barisan import mereka, Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera dan Brian Ferreira, pertahanan kanan dan kiri mereka iaitu S. Kunanlan dan Mohd Azrif Nasrulhaq juga banyak membantu gerakan serangan mereka.
“Barisan pertahanan perlu lebih berdisiplin kerana kami boleh mengambil kesempatan untuk melakukan serangan balas.
“Kedua-dua pasukan masih belum berada dalam prestasi terbaik, jadi saya harap pemain-pemain boleh mencuri peluang di atas kesilapan pasukan lawan,” tambah Rahmad lagi.