Skip to main content

Bola Sepak

Rahmad akui bernasib baik kutip tiga mata

rahmad-darmawand336c20a3d81604aa734ff0000212b38.jpg

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, mengakui pasukannya bernasib baik ketika menumpaskan Pulau Pinang 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

“Pasukan lawan bermain cukup baik, terutama pada babak pertama, dengan gerakan-gerakan tersusun sehingga kami terikut-ikut rentak permainan mereka.

“45 minit kedua, saya membuat perubahan dengan mengarahkan pemain-pemain menampilkan aksi lebih berdisiplin, terutama di bahagian pertahanan dan tengah.

“Pulau Pinang bijak merencana rentak permainan, memaksa kami berubah kepada corak lebih agresif dan itu yang membezakan dalam separuh masa kedua,” ujarnya.

Perlawanan itu menyaksikan pasukan pelawat nyaris memecahkan kebuntuan menerusi percubaan Mohamed Syamer Kutty Baba (m-13) yang ditepis penjaga gol T-Team serta sepakan percuma Muhamad Jafri Firdaus Chew (m-32) yang terkena tiang.

Pemain import T-Team, Mamadou Samassa, menyelamatkan maruah tuan rumah selepas menanduk masuk hantaran Farhod Tadjiev pada minit ke-70 untuk memberikan kemenangan pertama The Titans musim ini.

“Kami sangat bernasib baik dengan keputusan ini kerana Pulau Pinang bermain dengan baik, namun saya tetap memuji kesungguhan pemain-pemain yang memberikan tiga mata.

“Secara jujurnya, persembahan yang ditunjukkan belum pada tahap yang diingini dan kami perlu bekerja lebih keras lagi jika tidak mahu menjadi pasukan belasahan,” kata Rahmad lagi.

Tiga mata diraih membolehkan semi finalis Piala Malaysia musim lalu itu melonjak ke tangga ketujuh liga dengan empat mata, dengan Melaka United menanti mereka dalam aksi seterusnya minggu depan.

 

Advertisement

Must Watch Video