Skip to main content

Bola Sepak

Rabiot jemu dengan kritikan Aulas

13917rabiot.jpg
Pemain tengah Paris Saint-Germain, Adrien Rabiot, berkata gergasi Perancis itu sudah bosan dengan kritikan presiden Lyon, Jean-Michel Aulas, mengenai aktiviti perpindahan yang dilakukan oleh kelabnya.

Aulas tidak berselindung dengan kemasukan Neymar yang bernilai EURO222 juta (RM1.1 bilion) di samping kehadiran Kylian Mbappe dari juara Ligue 1, Monaco.

Aulas percaya kehadiran dua pemain itu memberikan impak kepada persaingan dalam Ligue 1 selepas PSG melakar kemenangan dalam lima aksi pertama liga.

PSG meneruskan persembahan cemerlang dengan menewaskan Celtic 5-0 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan kini mereka membuat persiapan berdepan Lyon pada Ahad ini.

"Penyokong-penyokong sudah mula bosan dengan kata-kata Aulas. Pemain-pemain juga tidak mengambil perhatian mengenainya.

"Saya tidak tahu mengapa beliau melakukan perkara ini. Adakah dia cuba untuk mengganggu kami? Beliau melakukan perkara yang sama setiap kali sebelum perlawanan PSG bertemu Lyon," katanya.

Ketika Aulas sibuk membincangkan mengenai perbelanjaan PSG, Edinson Cavani terus mempamer aksi cemerlang ketika bergandingan dengan Neymar dan bintang sensasi, Mbappe.

Cavani menjadi penjaring terbanyak saingan Eropah dengan 22 gol selepas dua kali menemui jaring di Parkhead.

Pemain kebangsaan Uruguay itu turut menyamai pencapaian musim lalu dengan meledak tujuh gol dalam lima aksi Ligue 1 dan memuji persembahan Neymar dan Mbappe, yang turut berjaya menjaringkan gol ketika berdepan Celtic.

"Setiap pasukan yang telah saya bersama memiliki kelebihan yang tersendiri tetapi bermain dengan Neymar dan Mbappe adalah sesuatu yang sangat menakjubkan," kata Cavani.

"Kami akan terus mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan akan datang," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video