Skip to main content

Bola Sepak

Qayyum sasar bergelar tonggak Harimau Malaya

qayyum-marjoni.jpg
Keputusan bekas pertahanan Kelantan, Qayyum Marjoni Sabil, berhijrah ke PKNS FC musim ini dianggap salah satu platform terbaik untuknya cuba merebut peluang menyarung jersi kebangsaan pula. 

Kali terakhir Qayyum menyarung jersi kebangsaan adalah ketika bersama skuad Harimau Muda pada 2014. 

Selepas itu, prestasinya tidak menampakkan peningkatan bersama skuad The Red Warriors (TRW) sehingga akhir musim 2017. 

Justeru, pemain berusia 24 tahun itu positif perpindahannya ke Semut Merah adalah tepat untuk mencapai prestasi terbaik untuk kembali terpilih mewakili negara. 

"Sasaran utama kami pada tahun ini adalah membantu PKNS mendapat keputusan baik dalam Liga Super dan sudah tentu saya juga mempunyai sasaran tersendiri, iaitu bermain untuk Malaysia," katanya. 

Beraksi dalam dua aksi persahabatan sebelum ini, Qayyum masih lagi mencari momentum yang diinginkan, namun menganggap keserasian dalam pasukan semakin baik. 

PKNS bakal berdepan aksi persahabatan ketiga di tempat lawan buat julung kalinya apabila bakal diuji PKNP FC, Sabtu ini. 

"Prestasi saya setakat ini sama seperti di Kelantan dan saya sedia mengikuti arahan ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

"Semua arahan beliau berjaya saya lakukan dengan baik," ujarnya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video