Skip to main content

Bola Sepak

Pulau Pinang tidak rela kalah lagi

pulau-pinang.jpg
"Kami enggan kalah lagi," itu luahan barisan pemain Pulau Pinang yang sudah mengalami enam kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super musim ini.

Skuad Harimau Kumbang kini kian terdesak mahu menamatkan badi malang itu apabila berdepan Melaka di Stadium Batu Kawan, esok.

Tatkala pasukan lain sedang gigih mencabar untuk berada di persada liga, Pulau Pinang masih lagi bergelut untuk mencari mata pertama mereka.

Pelbagai isu menimpa, daripada aspek pengurusan sehingga masalah penggantungan jurulatih dan prestasi pemain yang merudum, Pulau Pinang terus dilanda badi kekalahan.

Bosan dengan siri kekalahan dialami, pemain bertekad mahu membuktikan bahawa mereka masih mampu untuk bersaing dalam Liga Super.

"Sebagai pemain, kami harus optimis untuk meraih kemenangan pada malam esok walaupun sedang tertekan. Kami akan mencuba sedaya upaya untuk menang," kata kapten Pulau Pinang, Rafiuddin Rodin.

"Memang setiap pemain mahukan kemenangan. Mungkin dalam aksi bertemu Melaka ini, kami akan meraih kemenangan pertama," kata seorang lagi pemain skuad itu, Faiz Subri.

Penyerang, Nigel Dabingyaba, yang baru sahaja membuat tiga penampilan bersama skuad Harimau Kumbang, sedar tanggungjawabnya makin berat sebagai penggempur.

Dia, yang baru pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring, kini sudah pun meledak dua gol dan berharap tuah berpihak buat pasukannya untuk menggapai kemenangan pertama ketika menentang Melaka.

"Selepas menjalani rawatan tiga minggu dan masih belum cergas, kini saya sudah berasa OK," katanya. "Sejak tiga perlawanan lalu, saya tidak dapat menampilkan aksi terbaik kerana bimbang dengan masalah hamstring yang dialami.

"Sekarang, saya sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan esok."

Advertisement

Must Watch Video