Skip to main content

Bola Sepak

Puel hilang jawatan di Leicester

puel.jpg
Claude Puel dipecat Leicester City, demikian umum kelab itu semalam. 

Jawatan pengurus berbangsa Perancis itu berada di bawah pengawasan ketat sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan kekalahan 1-4 kepada Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana tempat sendiri semalam telah menentukan nasibnya.

Sebahagian besar peminat The Foxes kekal di Stadium King Power selepas wisel penamat ditiupkan untuk melepaskan kekecewaan mereka berikutan Leicester belum pernah menang di tempat sendiri tahun ini dan hanya mencatat satu kemenangan dalam sembilan perlawanan kompetitif.

Sehubungan itu, Leicester memilih untuk melakukan perubahan itu dengan mengeluarkan satu kenyataan: "Leicester City telah berpisah dengan Claude Puel yang perlu mengosongkan jawatannya sebagai pengurus dengan kadar segera.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Claude atas usahanya memimpin pasukan ini selama 16 bulan dan mengucapkan semoga bejaya dalam kariernya pada masa depan.

"Kelab juga mengucapkan semoga berjaya kepada pembantunya, Jacky Bonnevay, yang turut meninggalkan kelab."

Leicester mengumumkan ketua jurulatih skuad utama, Mike Stowell dan Adam Sadler, akan mendapat sokongan daripada kakitangan kelab yang lain untuk menggalas tanggungjawab mengemudi skuad senior sementara kelab akan memulakan proses melantik seorang pengurus baru.

"Ahli lembaga pengarah akan mengulas lanjut sebaik proses ini selesai."

Leicester berada di tangga ke-12 liga dengan mengumpul 32 mata daripada 27 perlawanan musim ini.
 

Advertisement

Must Watch Video