Skip to main content

Bola Sepak

Pochettino: Mentaliti Spurs perlukan 10 tahun untuk berubah

pochettino.jpg
Mauricio Pochettino percaya masalah kekuatan mental yang dihadapi pasukannya, Tottenham Hotspur, menjadi belenggu mereka tidak dapat menjadi pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Spurs gagal merapatkan jurang dengan Manchester City dan Liverpool selepas tewas 1-2 kepada Burnley di Turf Moor, Sabtu lalu.

Skuad kendalian Pochettino itu akan berdepan Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi esok, dengan pasukan bimbingan Maurizio Sarri itu mahu bangkit daripada kegagalan menjulang Piala Liga Inggeris (EFL) selepas tewas kepada City.

Namun, pengurus Spurs itu mendedahkan dia memerlukan tempoh sedekad untuk memperbetulkan masalah yang dihadapi pasukan itu dan mengubah mereka untuk menjadi pencabar utama kejuaraan.

"Hubungan saya dengan pemain amat baik, saya tidak kecewa dengan mereka.

"Saya cuma terkejut kami tidak dapat menghasilkan perasaan untuk menganggap setiap perlawanan adalah penting.

"Kebimbangan saya itu sudah terjadi dan situasi itu tidak dapat diubah dalam tempoh lima tahun.

"Mungkin ia memerlukan 10 tahun untuk mengubah apa yang berlaku di sini.
 
"Kami perlu menunjukkannya sebagai satu pasukan yang berjuang untuk memperoleh kejayaan besar.

"Dan secara jujurnya, saya kecewa kerana kami tidak dapat menonjolkan perwatakan yang lebih besar berbanding Burnley. Kami tidak menunjukkan lebih tenaga berbanding Burnley dan kami tidak menunjukkan impian kami lebih besar berbanding mereka.

"Itulah yang menggusarkan saya. Itu adalah perkara penting.

"Sudah pasti Chelsea bukan lawan yang mudah dan mereka sedang bersemangat tinggi untuk turun beraksi.

"Sama seperti menentang Arsenal dan Borussia Dortmund, anda tidak memerlukan pengurus untuk mengatakan 'anda perlu bermotivasi tinggi dan teruja untuk beraksi'.

"Tidak, kerana ia perkara biasa," katanya.

Advertisement

Must Watch Video