PKNP FC perlu mengawasi ketajaman jentera serangan Kedah agar tidak melakukan sebarang kemusnahan terhadap mereka dalam perlawanan pembukaan kempen Liga Super 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), malam ini.
Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berkata berdasarkan pengamatannya, pasukan Lang Merah itu memiliki jentera serangan berbisa.
Advertisement
Katanya, Kedah turun sebagai pasukan pilihan kerana membariskan barisan bertenaga, termasuk penyerang skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak.
Pasukan itu juga memiliki khidmat pemain tempatan berwibawa, antaranya Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Khairul Helmi Johari dan Ifwat Akmal.
Bagi Abu Bakar, anak buah Aidil Sharin Sahak itu sudah cukup bersedia daripada segi mental dan kecergasan setelah melalui beberapa perlawanan persahabatan dan persiapan pra-musim di Thailand.
"Mereka turun selaku pasukan pilihan manakala kami hanya pasukan kelab berbajet rendah.
"Namun, saya berharap pemain PKNP akan mempamer semangat juang kental yang menjadi ciri-ciri perwatakan kami selama ini.
"Ini perlawanan pertama dan kami juga mahu membuat permulaan baik di tempat sendiri," ujarnya.