Skip to main content

Bola Sepak

PKNP FC bimbang dengan Felda United

abu-bakar-fadzim_3.jpg
Kejayaan Felda United seri 1-1 dengan Selangor dalam perlawanan pertamanya merisaukan jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, apabila anak buahnya bertandang ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok.

Bagi Abu Bakar, keupayaan anak buah Nidzam Jamil itu mengikat skuad kendalian B Sathianathan itu petanda PKNP bakal berdepan ranjau besar.

"Kami tidak boleh beraksi sambil lewa kerana Felda nyata bukan calang-calang pasukan.

"Pemain PKNP FC perlu berada pada tahap terbaik untuk menghadapi perlawanan ini," katanya.

Abu Bakar yang juga pengurus pasukan kelab konglomerat itu berharap anak buahnya bangkit daripada kekalahan 0-2 di tangan Kedah dalam perlawanan pembukaan mereka di gelanggang sendiri.

"Saya mahu pemain segera lupakan kekecewaan  itu.

"Kami tumpas gara-gara kelemahan mutu pengadilan, " katanya.

Abu Bakar berkata PKNP FC sudah menghantar bantahan rasmi berserta bukti terhadap tuntutan mereka kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Biarlah MFL bertindak dan buat keputusan. Kami akur dengan keputusan mereka," ujarnya.

Bagi menghadapi Felda United, jurulatih itu berharap gandingan Yashir Pinto dan Coulibaly Yero akan menyengat selepas bermain bersama dalam latihan.

Begitupun, Abu Bakar berkata dia akan terasa kehilangan pemain tengah, Shukri Hamid, yang mengalami kecederaan.

Advertisement

Must Watch Video