Skip to main content

Bola Sepak

PKNP cari import kelima

asiana-59964.jpg
PKNP FC akan mencari pemain import kelima bagi memperkukuhkan pasukan itu dalam saingan Liga Super 2019.

Jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim, berkata langkah itu perlu berikutan kepincangan pasukan itu selepas mengharungi tiga perlawanan.

"Kami akan mencari seorang pemain untuk memperkasakan bahagian pertahanan.

"Adalah jelas PKNP tidak terdaya bertahan bertemu pasukan-pasukan yang memiliki pemain bersaiz besar, " kata Abu Bakar selepas kekalahan 2-3 kepada Petaling Jaya City (PJC) FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, PKNP mendahului dua kali tetapi tidak terdaya menyekat anak buah K. Devan dalam baki 20 minit perlawanan.

"Pemain sudah mencuba tetapi kami kalah kepada lawan yang memiliki fizikal lebih baik," katanya.

Menurut Abu Bakar, PKNP akan berusaha mendapatkan khidmat pemain kuota Asean sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain Rabu ini.

"Memang dah suntuk. Jadi, kami akan berusaha mendapatkannya melalui bantuan ejen," tambahnya.

Menurut jurulatih itu, dia sudah mengenal pasti seorang pemain dari Filipina serta beberapa pemain dari kelab lain dan akan menilai kemampuan mereka.

"Sudah tentu kami akan mencari calon terbaik yang akan dapat membantu perjuangan pasukan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video