Pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim, bersedia untuk berdepan dengan ancaman serangan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan membariskan Safawi Rasid dalam pertemuan Piala Sumbangsih malam ini.

Begitupun, itu tidak bermakna dia akan memberi tumpuan kepada pemain tertentu, sebaliknya cenderung untuk menampilkan permainan menarik sepasukan.

"Untuk perlawanan pertama musim ini, setiap pasukan sudah pasti dalam keadaan yang segar.

"Saya mahu berikan permainan yang menarik kerana ini adalah aksi pertama liga musim ini selain peluang merebut Piala Sumbangsih, jadi saya mahu langkah kanan," katanya.

Nazirul dijangka akan berdepan ujian untuk mengekang Safawi, rakannya dalam kem kebangsaan, yang sinonim membarisi sebelah kanan jentera serangan Harimau Selatan.

"Masing-masing mempunyai impian tersendiri, bagi saya tiada sentimen (peribadi) di atas padang," tambahnya.

Dalam masa sama, Nazirul tidak menyifatkan ketiadaan Gilmar da Silva sebagai satu kepincangan buat The Bos Gaurus kerana yakin pemain tempatan memiliki kelebihan tersendiri.

"Pemain tempatan akan menggunakan peluang ini untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasukan," katanya.