Skip to main content

Bola Sepak

Piala Sumbangsih: Laluan sukar buat Perak

piala-sumbangsih-2019_1.jpg
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.

Walaupun bakal melalui pelbagai keperitan dan kesulitan, pengurus pasukan Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, yakin pemain Perak mampu menempuh segala badai apabila turun bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

"Memang di atas kertas, kami tidak diberikan sebarang peluang kerana JDT pasukan terbaik di Malaysia.

"Bagaimanapun, macam-macam boleh berlaku dalam bola sepak.

"Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku dalam tempoh 90 minit," kata Adly Shah.

Pengurus Perak itu yakin pemain The Bos Gaurus sudah bersedia untuk membuat perhitungan dengan juara Liga Super lima kali yang bergelar Harimau Selatan itu.

"Ini perlawanan pertama. Kami turun selaku juara Piala Malaysia tahun lalu.

"Saya yakin pemain Perak mahu buktikan kemampuan mereka.

"Jadi, saya jangkakan ia akan menjadi satu pertarungan sengit dan hebat malam ini," katanya.

Walaupun Adly Shah sedar Perak akan turun tanpa Gilmar Jose Da Silva yang digantung, pengurus itu melontarkan cabaran kepada pemain muda yang bakal memikul tugas dan peranan selaku penyerang agar memanfaatkan peluang untuk menunjukkan kehebatan diri.

"Ini peluang terbaik untuk kami memenangi keyakinan dan kepercayaan pengurusan pasukan.

"Saya harap mereka gunakannya sebaik mungkin, " katanya.



 

Advertisement

Must Watch Video