Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia: Van Marwijk ketuai cabaran Socceroos

bert-van-marwijk.jpg
Australia beralih kepada bekas ketua jurulatih Belanda dan Arab Saudi, Bert van Marwijk, untuk mengemudi skuad itu dalam Piala Dunia di Russia.

Socceroos mendapatkan jurulatih baru ekoran keputusan mengejut Ange Postecoglou melepaskan jawatannya sungguhpun membimbing Australia layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali keempat berturut-turut menerusi aksi play-off pada November lalu. 

Van Marwijk, yang pernah memimpin skuad Oranje mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2010 selain membantu Arab Saudi layak ke pusingan akhir buat kali pertama sejak 2006, memutuskan untuk berpisah dengan gergasi Asia itu kerana percanggahan pendapat. 

Dia bagaimanapun hanya akan mula menggalas tugasan baru itu pada Jun nanti dengan pengurus Sydney FC, Graham Arnold, menjadi pilihan utama untuk menduduki kerusi panas itu dalam jangka panjang. 

"Saya mengenali ramai pemain dan corak permainan pasukan ini kerana pernah melatih mereka dalam dua aksi kelayakan Piala Dunia, iaitu pada 2016 dan Jun tahun lepas," kata Van Marwijk, yang bersetuju dengan terma syarat  Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) di Amsterdam.

"Saya juga kagum dengan pasukan kebangsaan mereka kerana FFA telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Saya ingin berterima kasih kepada Steven Lowy, David Gallop dan Ketua Prestasi Pasukan Kebangsaan, Luke Casserly, atas keyakinan yang ditunjukkan.

"Kami  tidak akan pergi ke Russia sekadar untuk bersaing. Saya mahu kami memenangi perlawanan," katanya.

Jurulatih luar seperti Roberto Mancini, Luiz Felipe Scolari, Jurgen Klinsmann, Marcelo Bielsa dan Sven-Goran Eriksson pernah dikaitkan dengan kekosongan jawatan itu. 

Menurut Ketua Eksekutif FFA, David Gallop: "Bert adalah calon utama kami untuk mengambil alih Caltex Socceroos ke Piala Dunia, kami gembira mendapatkan khidmatnya.

"Kami menjalani proses yang menyeluruh dan berdisiplin serta menggunakan pakar dari dalam dan luar negara untuk membina profil individu paling sesuai bagi tugasan di Russia. 

"Kami mempunyai beberapa jurulatih yang sangat berminat dengan peranan itu, namun Bert berada di kedudukan utama senarai pendek kami," katanya.

Australia akan menghadapi Norway dan Colombia dalam aksi persahabatan sebelum menentang Perancis, Denmark dan Peru dalam Kumpulan C Piala Dunia.

Advertisement

Must Watch Video