Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi, mohon perbincangan dua hala melibatkan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan yang diketuai Peter Cklamovski dan pengurusan pasukan Liga Super bagi keperluan Malaysia untuk mendapatkan pemain terbaik menghadapi Piala CAFA 2025.
Kebiasaannya, kelab Liga Super seperti Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak melepaskan pemain terbaik mereka seandaibta aksi kebangsaan tidak berlangsung dalam kalendar FIFA.
Namun, ketika revolusi bola sepak kebangsaan hangat diperkatakan, Yusoff menganggap kata sepakat yang membawa keuntungan bersama bagi kedua-dua belah pihak perlu berlaku.
"Saya mengharapkan satu penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini, supaya matlamat pasukan kebangsaan tercapai tanpa sebarang kekangan," katanya.
Undian Piala CAFA itu menyaksikan Harimau Malaya berada dalam kumpulan bersama Tajikistan, Iran dan Afghanistan.
Aksi pertama bertemu Tajikistan pada 29 Ogos pula luar dari kalendar FIFA.
Sementara itu, perlawanan membabitkan Iran dan Afghanistan menawarkan ranking dunia memandangkan jatuh dalam jadual antarabangsa yang bermula pada 1 hingga 9 September 2025.
"Pasukan kebangsaan sedar bahawa perlawanan pertama di luar kalendar FIFA.
"Saya harap CEO (Ketua Pegawai Ekskutif) Harimau Malaya, Rob Friend, dan Peter Cklamovski (ketua jurulatih Harimau Malaya) sendiri dapat mencari satu penyelesaian terbaik dalam situasi ini," katanya.