Skip to main content

Bola Sepak

Pestabola Merdeka: Tajikistan tamatkan rentetan tujuh perlawanan tanpa kalah Kim Pan-gon

dominic-tan_1.jpg
MALAYSIA 0 TAJIKISTAN 2

Hasrat Kim Pan-gon untuk menjulang trofi pertama sejak bergelar ketua jurulatih skuad negara tidak kesampaian selepas Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Tajikistan dalam final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Kekalahan itu juga menyaksikan rentetan tujuh perlawanan tanpa kalah skuad negara tahun ini terhenti gara-gara dua kesilapan barisan pertahanan.

Kali terakhir Harimau Malaya tewas di bawah bimbingan Pan-gon adalah ketika tumbang 0-3 di tangan Thailand dalam separuh akhir kedua Piala AFF pada Januari lalu.

Skuad negara bermula baik apabila lebih banyak menguasai permainan sejak dari awal dan berhasil merencanakan siri percubaan berbahaya tetapi kegagalan meletakkan bola ke dalam gawang lawan jelas mengundang padah.

Pada ketika kedua-dua pasukan kelihatan akan terikat tanpa jaringan menuju ke waktu rehat, kem negara dikejutkan pelawat apabila berlaku salah faham di antara Dominic Tan dan ketua pasukan, Dion Cools, untuk Rustam Sairov menemui lorongan licik rakan sepasukannya sebelum menewaskan penjaga gol negara, Syihan Hazmi Mohamed.

Skuad negara memberikan reaksi segera dalam waktu kecederaan separuh masa tetapi tandukan Matthew Davies daripada sepakan percuma Safawi Rasid diselamatkan penjaga gol lawan.

Malaysia melakukan serangan bertalu arus ke gawang lawan dalam babak kedua dalam usaha untuk mencari gol penyamaan, antaranya menerusi percubaan jarak jauh Faisal Halim yang terkena tiang gol dan tandukan Darrren Lok yang sedikit tersasar.

Ketika Harimau Malaya sedang galak memburu gol penyamaan, kesilapan komunikasi kembali menghantui barisan pertahanan.

Tindakan Dominic menunggu Syihan Hazmi mengeluarkan bola dalam kawasan penalti sendiri mengundang padah apabila Shahrom Samiev bijak mencuri bola untuk menjaringkan gol kemenangan Tajikistan.

 

Advertisement

Must Watch Video