Skip to main content

Bola Sepak

Permainan tidak banyak berubah -- Zidane

zinedinezidane-cropped_3uolq6uwfim6zg26gfokoydp.jpg
REAL MADRID 7 DEPORTIVO LA CORUNA 1

Zinedine Zidane tidak berasakan permainan Real Madrid berbeza sekalipun meraih kemenangan 7-1 ke atas Deportivo La Coruna dalam LaLiga di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi. 


Adrian Lopez membuka jaringan selepas 23 minit untuk Depor tetapi Real membalas dengan tujuh gol, masing-masing dua jaringan daripada Gareth Bale, Cristiano Ronaldo dan Nacho serta satu gol menerusi Luka Modric.

Ia adalah kemenangan LaLiga pertama Madrid di Santiago Bernabeu selepas tewas 3-0 kepada Barcelona dan kalah 1-0 di tangan Villarreal.

Sambil menjelaskan Madrid mengekalkan aksi sama dalam perlawanan itu, Zidane berkata ia mungkin ditambah dengan penyudah yang lebih tajam.

"Saya tidak tahu sama ada ia banyak berubah," katanya dalam sidang media selepas perlawanan. "Keputusannya sudah tentu adalah kemenangan besar.

"Itulah perbezaannya. Kami bermain dengan baik melawan Villarreal. Apa yang berubah hari ini adalah keputusannya, kami menjaringkan gol menerusi peluang yang kami cipta. Tiada yang lain.

"Kami memerlukan perlawanan seperti ini. Untuk menjaringkan tujuh gol, ia tidak dilakukan setiap hari. Saya gembira kerana itu," jelasnya.

Zidane memiliki Bale, Ronaldo dan Karim Benzema yang semuanya cergas walaupun penyerang Perancis itu perlu menunggu di bangku simpanan sebelum diturunkan untuk kali pertama sejak 273 hari lalu.

Dia bermain dengan menggantikan pemain muda, Borja Mayoral.

"Kami tahu kami dapat bermain dalam pelbagai formasi. Hari ini adalah 4-3-3 dengan Gareth (Bale), Cristiano (Ronaldo) dan Borja (Mayoral).

"Kami boleh mengubah bentuk tetapi yang paling penting ialah sikap yang kami tunjukkan."

Skuad Zidane kekal berada di tangga keempat dalam LaLiga dan seterusnya akan menentang Leganes dalam suku akhir Copa del Rey di tempat sendiri, di mana mereka mempunyai kelebihan 1-0 hasil jaringan Marco Asensio.

Advertisement

Must Watch Video