Skip to main content

Bola Sepak

Perak mahu lembaran baru dalam Piala Malaysia

perak_1.jpg
Masih segar dengan kemenangan 3-2 ke atas Kedah dalam saingan Liga Super di Alor Setar, Sabtu lalu, The Bos Garus terus merencana jalan terbaik untuk menghadapi PKNS FC dalam kempen Piala Malaysia di Ipoh esok.  

Menurut ketua jurulatih The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, ini ialah masa terbaik Perak membuka buku baru berdasarkan kemampuan pasukannya kini.

Jelas Mehmet: "Ini satu kejohanan yang baru dan berbeza dengan liga. Ayuh mulakan episod dengan warna kemenangan." 

Lantas, beliau menyarankan agar kesempatan ini diambil anak buahnya untuk mencipta sesuatu di peringkat awal agar bekalan positif dapat dijana.

"Saya tahu ini tugas sukar kerana kumpulan B turut menyenaraikan Felda United FC dan Kuala Lumpur tetapi saya tetap menegaskan kemenangan awal bertemu PKNS adalah suntikan untuk kekal relevan," katanya.

Selain itu, Mehmet turut menyatakan Julai adalah bulan paling mencabar untuk mana-mana pasukan.

"Untuk Perak, Julai sahaja ada sembilan perlawanan.  Oleh itu setiap pemain dalam pasukan perlu bersiap sedia dengan apa jua kemungkinan. Harap komitmen dan semangat juang pemain dapat dikekalkan."

Advertisement

Must Watch Video