Skip to main content

Bola Sepak

Perak hadapi dilema kecederaan

amirul.jpg
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, terpaksa menelan perit apabila pertahanan, Amirul Azhan Azanan, menyertai senarai pemain yang mengalami kecederaan tatkala skuad The Bos Gaurus masih lagi buntu untuk melakar kemenangan pertama.

Sebelum ini, Perak telah kehilangan Shahrel Fikri Md Fauzi dan Nasir Basharuddin yang cedera dan selepas aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), mereka terpaksa melupakan khidmat pemain tengah, Brendan Gan.

Terbaru, Durakovic mungkin terpaksa melupakan khidmat Amirul yang dikeluarkan ketika separuh masa pertama menentang Felda United semalam dan ia bakal menjadi tugas perit memandangkan Perak masih belum mencatatkan kemenangan musim ini.

Perak bernasib baik memperoleh sepakan penalti dalam aksi semalam dan disudahkan Gilmar Jose da Silva untuk mengikat Felda 1-1 di Ipoh.

"Kami berharap dia dapat kembali secepat mungkin dan saya tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi. Namun, memang kami tidak berada dalam keadaan yang baik. Shahrel Fikri turut mengalami kecederaan tetapi inilah bola sepak," kata Durakovic.

Bagi kem Felda, pengendali pasukan, Nidzam Jamil, juga berdepan situasi sama apabila pasukannya masih gagal mencatat sebarang kemenangan.

Bagaimanapun, Nidzam tetap gembira, khususnya dengan sumbangan kapten, Hadin Azman, yang kini sudah menjaringkan tiga gol daripada empat perlawanan.

"Ia satu motivasi yang baik untuk kami. Pemain saya menjalankan tugas dengan baik. Seri berdepan Perak merupakan sesuatu yang bagus kerana sebelum ini, kami dibelasah oleh Kedah 4-0," ujar Nidzam.
 

Advertisement

Must Watch Video