Skip to main content

Bola Sepak

Perak bimbang cuaca ganggu rentak perlawanan

perak-the-bos-gaurus-2019.jpg
Cuaca terlampau sejuk serta hujan renyai-renyai membimbangkan Perak apabila turun bertemu Ulsan Hyundai dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia AFC (ACL) 2019 di Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu, Incheon, Korea Selatan petang ini.

Kebimbangan itu disuarakan oleh pengurus Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, ketika dihubungi sebentar tadi.

Adly juga bimbang pemain The Bos Gaurus tidak tahan dengan suhu sejuk yang mencecah sehingga -8 darjah Celcius itu.

"Sudahlah cuaca sejuk, hujan renyai-renyai tambah memburukkan lagi keadaan," katanya.

"Saya takut pemain tak tahan cuaca begini. Ini pengalaman pertama buat pemain Perak beraksi dalam suasana begini.

"Apapun, saya berharap semuanya akan berjalan lancar petang ini."

Dalam masa sama, Adly berkata bek kiri, Nazirul Naim Che Hashim, belum pasti diturunkan petang ini kerana masih mengalami kecederaan.

Semasa ketiadaannya, Rafiuddin Roddin, mengambil alih tugas bagi membantu memperkuatkan benteng Perak.

"Kami tunggu sehingga saat akhir sebelum buat keputusan sama ada menurunkan Nazirul atau tidak," tambah Adly.

Sementara itu, Zac Anderson yang menjalani penggantungan mandatori ketika perlawanan dengan Kitchee SC di Ipoh, Selasa lalu  kerana kesalahan pada 2012, dijangka dapat beraksi hari ini.

Idris Ahmad telah menggantikan pemain Australia itu dan berjaya mewujudkan persefahaman dan gandingan mantap bersama kapten, Shahrul Mohd Saad.
 

Advertisement

Must Watch Video