Skip to main content

Bola Sepak

Penjualan Matic kerana sesuatu di sebalik tabir

nemanja-matic-140817.jpg
Jose Mourinho berkata penjualan Nemanja Matic menggambarkan sesuatu telah berlaku di sebalik tabir di Stamford Bridge.

Manchester United mengikat Matic dari juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, dengan harga £40 juta (RM223j) dan pemain tengah Serbia itu menyerlah dalam aksi sulung di Old Trafford, tengah malam tadi, apabila Red Devils membelasah West Ham 4-0 untuk menduduki puncak liga dalam aksi pembukaan musim baru ini. 

Jurulatih The Blues, Antonio Conte, dilaporkan tidak gembira dengan penghijrahan Matic dan Mourinho melahirkan rasa terkejut dengan perkembangan berkenaan. 

"Ia bergantung kepada apa yang telah berlaku di sebalik tabir," katanya. 

"Kita tidak tahu. Apa yang kita tahu, saya membawanya ke Stamford Bridge kerana dia mempunyai kualiti istimewa. 

"Dan sejak saya pergi, saya sentiasa fikir dia pemain sempurna buat kami. Tetapi, saya tidak mahu mengganggunya. Saya tidak mahu mengganggu Chelsea. Saya tidak percaya ia boleh berlaku melainkan sesuatu yang mengejutkan telah berlaku. 

"Nampaknya ada perkara yang telah terjadi kerana ejennya memberitahu saya, 'anda boleh mendapatkannya, anda hanya perlu membayar'.

"Sehubungan itu, kami sangat gembira.

"Dia seorang pemain yang kami perlukan dan kini kami memiliki kualiti pemain seperti Nemanja dan Michael Carrick di mana di sebalik usianya, dia masih mempunyai peranan. 

"Saya sangat gembira dengan pemain stabil seperti ini."

Seorang lagi muka baru, pemain pertahanan tengah dari Sweden, Victor Lindelof, tersisih kerana bergelut selepas beraksi dalam kekalahan kepada Real Madrid dalam perebutan Piala Super UEFA. 

Mourinho berasakan pemain berusia 23 tahun itu perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan EPL selepas tiba dari Benfica. 

"Pertemuan dengan Real Madrid masih terlalu awal buatnya," katanya lagi. 

"Dia diturunkan kerana Phil Jones dan Eric Bailly masing-masing digantung. Saya memiliki pemain yang datang dari liga berbeza dan kebiasaannya ia bukan mudah. 

"Pada 2004, saya membawa masuk pertahanan tengah fenomena ke England, Ricardo Carvalho. Dia merupakan salah seorang pertahanan tengah terbaik dalam EPL pada dekad lepas dan dia juga bergelut. 

"Pada awalnya, ia situasi sukar buatnya. 

"Victor memerlukan sedikit masa dan dia akan memilikinya. 

"Oleh itu, kami akan mengambil langkah demi langkah kerana Victor merupakan pemain yang hebat."

Advertisement

Must Watch Video