Skip to main content

Bola Sepak

Pengalaman Diarra sandaran baru PSG

lassana-diarra.jpg
Paris Saint-Germain (PSG) mengikat bekas pemain antarabangsa Perancis, Lassana Diarra, secara percuma.

Diarra menjadi ejen bebas sejak meninggalkan Al Jazira, bulan lalu dan ketibaannya akan meningkatkan pilihan di bahagian tengah pendahulu Ligue 1 itu biarpun jurulatih, Unai Emery, sebelum ini menyatakan dia tidak akan memancing mana-mana pemain semasa jendela perpindahan bulan ini. 

Pengurus Sepanyol itu sebelum ini mendedahkan pemain Argentina berusia 21 tahun, Giovani Lo Celso, sebagai penyelesaian untuknya mengatasi masalah pemain tengah bertahan pada awal bulan ini sambil menolak kemungkinan mendapatkan khidmat Diarra. 

Bagaimanapun, bekas pemain tengah Marseille dan Real Madrid berusia 32 tahun itu kembali ke kancah Ligue 1 dengan menandatangani kontrak selama 18 bulan, semalam. 

Diarra, yang kali terakhir muncul untuk Perancis pada 2016, berpeluang untuk diturunkan ketika menentang Guingamp dalam kempen Coupe de France, awal pagi esok. 

"Saya amat gembira kerana telah menandatangani kontrak di kampung halaman," kata Diarra kepada laman sesawang rasmi PSG.

"PSG sangat dekat di hati saya dan dengan pencapaian kelab ini di peringkat antarabangsa beberapa musim kebelakangan ini, adalah menjadi impian setiap pemain untuk bermain di sini.

"Saya cukup bernasib baik untuk menjadikan impian ini sebagai satu kenyataan untuk menyelami keistimewaan bermain di Parc des Princes dengan memakai Rouge et Bleu.

"Saya berhasrat melakukan segala yang termampu, menggunakan segala pengalaman dan menunjukkan kepada semua tentang keinginan saya untuk bermain dan membuktikan bahawa kelab ini telah membuat pilihan tepat dengan menunjukkan keyakinannya kepada saya."

"Kami gembira mengalu-alukan kehadiran Lassana Diarra, seorang pemain bola sepak berkualiti ke PSG," kata Ketua Pegawai Eksekutif PSG merangkap Pengerusi, Nasser Al-Khelaifi.

"Pengalamannya yang luas dalam liga asing dan pasukan kebangsaan Perancis akan menawarkan kami satu lagi pilihan ketika kami memasuki separuh kedua musim ini yang sangat menarik.

"Saya tahu bahawa Lassana sangat bercita-cita tinggi seperti semua orang di sini. Peminat kami di Parc des Princes sangat menggemari pemain yang berasal dari rantau Paris, saya tahu mereka akan memberikan sambutan hangat dan kekuatan untuk membantu pasukan kami mencapai objektif."

Advertisement

Must Watch Video