Skip to main content

Bola Sepak

Pemain tunjukkan peningkatan mendadak - David Usop

040217-sarawak.jpg
Kekurangan pengalaman membezakan Sarawak dan Pahang dalam aksi Liga Super yang menghiburkan di Stadium Negeri di Petra Jaya malam ini.

Biarpun beraksi di hadapan lebih 8,000 penyokong sendiri, termasuk sokongan bintang Bujang Senang 1997 yang menjulang Liga Perdana buat pertama kalinya untuk Sarawak, anak-anak buah David Usop gagal mengekang Pahang untuk mencuri tiga mata berharga.

Anak-anak buah Dollah Salleh bagaimanapun harus berterima kasih kepada kelonggaran pertahanan Sarawak pada minit ke-23 apabila Chinedu Dike berjaya melepasi kawalan Demerson Bruno Costa bagi menggegarkan jaring dengan memanfaatkan lorongan Francisco Insa Bohigues.

Sarawak cuba bangkit menerusi serangan bertali arus, terutama melalui perancang, Jong Ho-lee dan Tommy Mawat Bada, namun Shreen Tambi dan Mark Andrew Hartmann gagal menterjemahkan setiap umpanan mereka kepada jaringan.

Bagaimanapun, bagi David, beliau berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan anak-anak buahnya.

"Gol Pahang berpunca daripada kelebihan Chinedu yang memiliki gerakan mengelirukan dan bukan kelemahan pertahanan," katanya. 

Pahang katanya, berada dalam kelasnya tersendiri, namun pemain muda Sarawak menunjukkan semangat melawan yang luar biasa, hingga pada suatu ketika hampir menyamakan kedudukan.

"Saya gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan mereka yang ternyata amat berbeza berbanding pertemuan dengan Kedah dan T-team.

"Malah, pemain-pemain muda seperti Tommy, Nur Shamie Iszuan dan Abdul Rahim Abdul Razak telah menunjukkan kematangan dan kemampuan menyaingi aksi lawan biarpun berasal dari skuad Piala Presiden," katanya lagi.

Menyedari hanya Hartmann yang berada di barisan hadapan, David mendedahkan percaturan untuk meletakkan pemain tengah, Shreen, sebagai pemain penyerang juga tidak menjadi.

"Oleh kerana itu, kami mengharapkan Mateo Roskam pulih segera.

"Kami amat memerlukan sentuhan penyerang import di bahagian serangan bagi menampung kekurangan yang ada.

"Dia mungkin diturunkan sewaktu aksi dengan Pulau Pinang kelak."

Ia merupakan kekalahan kedua Sarawak setelah tumpas 2-3 kepada Kedah di Stadium Darulaman.

Advertisement

Must Watch Video