Marseille mengumumkan bahawa pemain muda sensasi, Maxime Lopez, telah mengikat kontrak pembaharuan empat tahun bersama kelab itu.
Pemain berusia 19 tahun itu -- yang menyertai akademi kelab enam tahun lalu -- telah diperkenalkan dalam Ligue 1 pada Oktober tahun lalu dan sejak itu berjaya mencipta impak besar.
Aksinya dikatakan telah menarik minat Barcelona, yang dilaporkan bakal membuat tawaran sebaik berakhir musim ini.
Bagaimanapun, pemain skuad bawah 20 tahun Perancis itu kini kekal komited dengan masa depannya di kelab itu selepas menandatangani kontrak yang akan berakhir pada Jun 2021.
Presiden kelab itu, Jacques-Henri Eyraud, percaya kemahuan Lopez mengikat kontrak pembaharuan mempamerkan kepentingan menolak tawaran luar.
"Ini adalah satu simbol yang kuat bagi kami," katanya.
"Dia seorang yang muda dan berbakat serta sangat dikagumi oleh penyokong.
"Selain itu, kami juga mahu menghantar mesej kepada pemain akademi ini bahawa segalanya tidak mustahil jika setiap syarat dipenuhi: disiplin dan etika berkerja keras."