Skip to main content

Bola Sepak

Pemain benar-benar cergas jadi pilihan Bernhardt

5217bernhardt.jpg
Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt, mungkin terpaksa melakukan rombakan dengan memberi peluang kepada pemain yang tidak beraksi dalam perlawanan terakhir Liga Malaysia untuk aksi menentang Vietnam di Stadium Thong Nhat, esok.

Daripada senarai 18 pemain yang dibawa ke Ho Chi Minh, sebahagian mereka dilihat berada dalam kecergasan terbaik kerana sekadar memanaskan bangku simpanan bersama skuad masing-masing.

Hakikat itu diperakui Bernhardt yang seolah-olah memberi petanda akan menggunakan beberapa muka baharu selain taktikal berlainan untuk menghadapi Vietnam dalam aksi persahabatan itu.

Tetapi segalanya bergantung kepada laporan kecergasan pemain selepas menjalani latihan rasmi pada petang ini.

"Saya berharap mereka memberikan persembahan yang baik dalam perlawanan ini bagi mempersiapkan pasukan untuk kejohanan besar (Sukan SEA) nanti. 

"Ini adalah peluang yang baik untuk pemain menunjukkan prestasi sebelum kejohanan itu," katanya.

Meskipun ramai melabel Vietnam sebagai pilihan untuk memenangi perlawanan esok, Bernhardt tidak menjadikan keputusan sebagai sasaran utama buat pemainnya.

Dia mahu melihat sejauh mana peningkatan dipamerkan pemainnya apabila menentang lawan seperti Vietnam yang kini menjadi salah sebuah kuasa besar di rantau Asia Tenggara.

"Vietnam adalah lawan yang baik untuk kami kerana mereka adalah pasukan yang kuat. Mereka telah mempersiapkan pasukan sejak tahun lalu. Esok adalah pertemuan yang menarik untuk kedua-dua pasukan," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video