Skip to main content

Bola Sepak

Pemain Arsenal memalukan -- Neville

arsenal-cropped_ud239okjaxrf1mwa52oe6gutt-(1).jpg
Gary Neville mengecam persembahan Arsenal selepas mereka dibelasah 4-0 oleh Liverpool di Anfield dalam perlawanan ketiga Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

The Gunners dihukum ekoran beraksi hambar, sering kali hilang penguasaan bola sehingga dihukum menerusi gol pembukaan Roberto Firmino dan Sadio Mane.

Mohamed Salah dan Daniel Sturridge turut mencatat nama selaku penjaring.

Neville -- yang menjadi pengulas perlawanan untuk Sky Sports -- mengecam aksi kelab itu dengan menyatakan bahawa mereka layak dibelasah seperti itu.

"Saya bukan peminat Liverpool tetapi Arsenal layak dibelasah. Memang layak," kata Neville ketika masa rehat.

"Liverpool pasukan yang hebat ketika menyerang tetapi bagaimana pemain Arsenal boleh bermain seperti ini dalam satu pertembungan penting?

"Tidak perlu nak bercakap tentang beraksi hambar tetapi perwatakan pemain dan tiada rasa hormat terhadap jersi yang dipakai pemain Arsenal cukup memalukan.

"Saya hadir ke sini dengan perasaan tenang tetapi selepas menyaksikan persembahan mereka, saya rasa marah. Apakah perasaan penyokong Arsenal ketika ini? Arsene Wenger tentu kecewa."

Sebaik perlawanan berakhir, Neville enggan mengkritik Wenger, sebaliknya menyebut nama beberapa pemain, katanya: "Mesut Ozil, Aaron Ramsey, Oxlade-Chamberlain dan Granit Xhaka, kesemuanya gagal melakukan perkara asas, menghulurkan bantuan ketika bertahan.

"Pemain harus dipersalahkan.

"Wenger telah melaksanakan tugasnya untuk jangka masa lama dan wajar diberikan penghormatan tetapi pemain sering kali mengecewakannya.

"Saya tidak akan menyalahkannya. Saya menuding jari kepada pemain."

 

Advertisement

Must Watch Video