Skip to main content

Bola Sepak

Pellegrini kecam tindakan perkauman ke atas Salah

mohamedsalah.jpg
Pengurus West Ham United, Manuel Pellegrini, mahukan penyokong yang didapati bersalah melontarkan kata-kata perkauman ke atas pemain supaya diharamkan daripada menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris selepas Mohamed Salah menjadi mangsa perkauman di Stadium London.

Rakaman telefon bimbit yang tular di media sosial memperlihatkan penyokong West Ham mengejek Salah dan mempersendakan pegangan agama pemain tersebut ketika pasukan itu mengikat seri Liverpool, Isnin lalu.

West Ham telah menjalankan penyiasatan bagi mengenal pasti penyokong berkenaan dan berjanji untuk menjatuhkan penggantungan seumur hidup terhadap pesalah yang terlibat.

Bagi Pellegrini, ia merupakan hukuman yang tepat bagi mengelakkan perkara sama berulang pada masa akan datang.

"Sudah pasti saya berasakan perkara seperti itu tidak boleh dibiarkan terjadi di stadium.

"Jalan terbaik untuk mengelakkan perkara sedemikian berulang adalah dengan menyingkirkan mereka daripada menyaksikan perlawanan Liga Perdana.

"Kami memerlukan standard yang tinggi dan apabila perkara seperti itu terjadi, kami perlu mengambil tindakan.

"Kelab ini tahu apa yang mereka perlu lakukan dan kami tidak dapat menerima jika perkara seperti itu terjadi dalam setiap perlawanan.

"Ia perlawanan yang hebat dan semua pihak menikmati aksi yang disajikan.

"Mereka yang terlibat itu perlu dihukum secepat mungkin," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video