Skip to main content

Bola Sepak

PDRM ikat dua import baru

importperak.jpg
PDRM melengkapkan pemburuan import musim ini selepas mengikat penyerang dari Romania, Petrisor Voinea, manakala Souleymane Konate digugurkan bagi memberi laluan kepada pertahanan Montenegro, Argzim Redzovic.

Menurut penolong jurulatih, Mohd Fauzi Pilus, dua pemain itu memiliki pengalaman cukup luas selain dilihat cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.

Dia berkata Voinea, terutamanya, yang merupakan produk kelab Itali, Livorno, mempunyai rekod cemerlang selaku penyerang manakala Argzim memiliki ketinggian baik selaku pertahanan tengah.

Jelasnya, mereka tiada pilihan untuk melepaskan Konate selepas gagal menambat hati pengendali, Zulhamizan Zakaria.

"Melihat kepada perkembangan yang ditunjukkan oleh Argzim, ia boleh memberi impak yang lebih baik kepada PDRM. Begitu juga dengan Petrisor yang menunjukkan perkembangan baik semasa perlawanan persahabatan," katanya. 

Sementara itu, Voinea berharap pengalamannya beraksi di kelab Vietnam, Song Lam Nghe An FC, pada 2014 mampu membantunya memahami corak perlawanan dalam Liga Malaysia.

Biarpun PDRM tidak dibarisi nama-nama besar, ia bukan halangan buat Voinea membantu pasukan itu memasang hajat memburu kedudukan dua terbaik Liga Perdana tahun ini.

"Begitu berbeza di sini dengan Eropah. Ia bukan kali pertama saya berada di Asia. Saya bermain satu perlawanan di Malaysia ketika menentang Kelantan dalam Piala AFC. 

"Saya pernah bermain di Vietnam dan di China. Jadi, cuaca di Malaysia tidak sukar bagi saya," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video