Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Javier Pastore, bakal terlepas aksi Ligue 1 minggu ini berdepan Dijon kerana mengalami kecederaan.
Perancang tengah itu baru sahaja kembali beraksi selepas dua setengah bulan diketepikan ekoran kecederaan lutut ketika beraksi selama 20 minit dalam kemenangan 4-0 ke atas Rennes.
Dia dijangka beraksi sekali lagi berdepan Dijon pada Sabtu, namun pengendali, Unai Emery, sekali lagi terpaksa mengetepikan pemain itu.
"Ketika tamat latihan, Pastore berasa sedikit kesakitan di bahagian otot. Sebagai langkah berjaga-jaga, dia tidak akan tersenarai dalam pasukan berdepan Dijon," ujar Emery dalam sesi sidang media.
"Dia sudah lama tidak beraksi, jadi senario itu melemahkan ototnya.
"Dia akan menjalani pemulihan bersama fisio pada Sabtu.
"Kevin Trapp, Thomas Meunier, Marco Verati dan Angel Di Maria turut tidak akan beraksi kerana kecederaan."
Bagaimanapun, pemain tengah, Grzegorz Krychowiak, difahamkan telah pulih sepenuhnya dan akan beraksi bersama skuad simpanan bagi meningkatkan kecergasan.