LIGA SUPER MSIA
Pacheco akui kesan kehadiran dua pemain
Pertahanan import Selangor, Willian Pacheco, menyifatkan kehadiran dua bintang muda Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn, turut mempengaruhinya dalam membuat keputusan untuk menyertai The Red Giants, musim ini.
Pacheco telah beraksi selama dua musim di Persija Jakarta sebelum ini dan cukup mengenali kedua-dua pemain terbabit.
Dia begitu teruja apabila mengetahui Evan dan Ilham akan menyertai Selangor hingga membuatkan pemain berketinggian 1.95 meter itu tidak berfikir panjang untuk ke Malaysia kerana optimis mereka berdua mampu mencetus aura positif bersama Selangor.
Iklan
“Setelah dua tahun di Indonesia, saya mahu membuktikan sesuatu di Malaysia dan menyasarkan beberapa kejuaraan bersama Selangor. Kehadiran mereka berdua memberikan saya semangat kerana saya tahu kualiti yang ada pada mereka,” katanya.
Selain itu, Pacheco tidak melihat pasukan barunya itu sebagai skuad yang lemah di pentas Liga Super hanya kerana berbekalkan 50 peratus pemain di bawah usia 22 tahun.
Mungkin soal kurang pengalaman menjadi ukuran tetapi Pacheco mendapati majoriti mereka begitu dahagakan kejayaan bersama Selangor.
“Ya, memang benar ramai pemain muda di sini tetapi pengalaman itu sementara sahaja. Berikan peluang kepada mereka kerana mereka ada kualiti dan paling penting, mereka bersemangat tinggi untuk membantu Selangor meraih kejayaan,” ujarnya lagi.
Must-Watch Video