Skip to main content

Bola Sepak

Neymar terpaksa keluar daripada bayang-bayang Messi -- Alves

alvesmessineymar-cropped_yj5b746av4m61qdep4v3914aw.jpg
Neymar terpaksa melangkah keluar daripada bayang-bayang Lionel Messi dengan meninggalkan Barcelona untuk ke Paris Saint-Germain (PSG), demikian menurut Dani Alves.

Penyerang kelahiran Brazil itu melakar rekod dunia dengan perpindahan bernilai €222 juta (RM1 bilion) dari Barca ke PSG tahun lalu dan menjaringkan 26 gol dalam 24 perlawanan musim ini.

Alves, rakan sepasukan Neymar dalam skuad kebangsaan Brazil dan PSG, berkata pemain berusia 25 tahun itu membuat keputusan yang tepat ketika meninggalkan Camp Nou.

"Saya fikir dia sama hebat dengan Messi sebagai pemain paling berpengaruh dalam bola sepak dunia. Tetapi dia terpaksa keluar dari bayang-bayang Leo sedikit," kata Alves kepada FIFA.com.

"Bermain dengan seseorang yang unik seperti Leo adalah perkara paling luar biasa yang boleh berlaku tetapi selalu ada keraguan di dalam fikiran sama ada kamu yang benar-benar mempunyai kualiti atau dia.

"Saya selalu suka bermain bersamanya tetapi dia adalah pemain Argentina manakala Ney dan saya Brazil. Tidak lama kemudian, kami terpaksa menentang satu sama lain.

"Saya fikir kamu mempunyai peluang yang lebih baik untuk mencapai sesuatu secara individu apabila tidak terlalu rapat dengan pemain seperti Leo. Ia adalah penting untuk perkembangan Ney dan Brazil untuk mengikuti jalan sendiri."

Alves dan Neymar juga merupakan rakan sepasukan di Barcelona sebelum meninggalkan skuad itu pada 2016.

Walaupun Alves mengatakan bahawa dia membantu mendapatkan Neymar untuk gergasi LaLiga itu, dia menegaskan bahawa dia hanya memainkan peranan minimum dalam perpindahan bekas bintang Santos itu ke PSG .

"Saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengannya walaupun saya terlibat ketika dia menandatangani kontrak untuk Barcelona. Saya memberi nasihat kepadanya dan memberitahunya tentang segala perkara baik yang saya alami di kelab dan di bandar itu," katanya.

"Tetapi kali ini tidak seperti itu. Saya hanya menyuruhnya mengikuti hatinya. Itulah satu-satunya nasihat yang saya berikan kepadanya."

Advertisement

Must Watch Video