Neymar mengakui ia kini hampir mustahil untuk Barcelona mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas kekalahan 4-0 yang mengaibkan kepada Paris Saint-Germain (PSG), kelmarin.
Gol-gol daripada Julian Draxler dan Edinson Cavani di samping dua jaringan Angel Di Maria memuktamadkan keputusan berkenaan untuk penyokong membingitkan suasana di Parc des Princes.
Barca kini perlu menerbalikkan keputusan itu dalam perlawanan timbal balik – sesuatu yang tidak pernah berlaku – dan pemain antarabangsa Brazil itu mengakui kejayaan berkenaan tidak berkemungkinan.
“Ia satu perlawanan agak luar biasa yang jarang sekali berlaku kepada kami tapi PSG berhak mendapat pujian.
“Mereka mengharungi perlawanan dengan cemerlang, mengatur serangan dengan berkesan dan menyudahkan peluang-peluang dengan cemerlang juga,” Neymar memberitahu wartawan selepas perlawanan.
"Kini kami harus memikirkan mengenai perlawanan berikutnya, untuk melihat apa yang kami boleh cuba lakukan untuk menerbalikkan keadaan, sesuatu yang sangat sukar – malah agak mustahil. Tapi kami tidak boleh berputus asa.
“Ia amat sukar untuk bersiap-sedia untuk perlawanan seperti itu. Saya tidak fikir saya pernah berada dalam situasi seperti ini.
“Apa yang akan saya lakukan ialah berhabis-habisan dalam perlawanan berikutnya supaya kami boleh menerbalikkan kedudukan.”