Manuel Neuer berkata sukar untuk Bayern Munich mencari pengganti kepada Franck Ribery setelah pemain itu sekali lagi mengalami kecederaan.
Ribery dijangka diketepikan selama dua minggu susulan mengalami kecederaan hamstring ketika sesi latihan, sekaligus bakal terlepas aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) berdepan Arsenal.
"Sukar untuk mengisi slot yang ditinggalkan Ribery dengan pemain lain," kata penjaga gol Jerman itu dalam satu sidang media.
"Setiap pemain memiliki skil berbeza tetapi kami adalah FC Bayern, jadi kami bertuah kerana memiliki skuad yang berbakat.
"Sudah tentu kami kecewa dengan kecederaan dialami Ribery tetapi kami akan tetap memiliki pasukan yang kuat di atas padang."
Pendahulu Bundesliga itu kembali meneruskan aksi dengan kemenangan 2-1 ke atas Werder Bremen, namun Neuer berasakan mereka tidak beraksi di tahap terbaik.
"Ia bukan aksi terbaik kami," katanya.
"Kedudukan pemain juga tidak tersusun, lantas memberi banyak ruang kepada pihak lawan.
"Ketika mereka melancarkan serangan pantas, kami mula bergelut. Kami perlu memperbaiki masalah ini."
Bayern akan menerima kunjungan FC Schalke hujung minggu ini.