Penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas, berkata dia cuba untuk mengabaikan khabar angin mengenai masa depannya susulan kelab gergasi LaLiga itu dikaitkan dengan beberapa muka baru yang bakal dibawa masuk musim panas nanti.
Madrid dilaporkan akan mendapatkan penjaga gol Manchester United, David de Gea dan Thibaut Courtois dari Chelsea, meletakkan kedudukan Navas sebagai penjaga gol utama bakal tergugat.
Tetapi selepas membantu Madrid menang 3-1 ke atas Osasuna semalam, penjaga gol skuad kebangsaan Costa Rica itu berkata dia tidak bimbang mengenai masa depannya.
"Saya cuba untuk bekerja keras setiap hari dan mengabaikan perkara-perkara yang tidak berfaedah," kata Navas.
"Madrid memiliki pemain-pemain terbaik dan saya berusaha setiap hari untuk menjadi yang terbaik, berada dalam kalangan yang terbaik dan mahu kekal bersama pasukan ini selama mana yang mungkin."
Navas, yang masih memiliki kontrak hingga 2020, berkata dia sangat gembira dengan sokongan yang diberikan oleh presiden Madrid, Florentino Perez.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata: "Ia sangat penting buat saya, beliau meletakkan kepercayaan kepada saya.
"Saya tidak tertekan dan saya mahu membalas setiap kepercayaan dengan memastikan gawang gol Madrid tidak dibolosi."