Skip to main content

Bola Sepak

Nahas pesawat Sala: Satu mayat ditemui

sala-plane.jpg
Mayat seorang mangsa dapat dilihat dalam bangkai pesawat ringan yang membawa penyerang Cardiff City, Emiliano Sala, yang ditemui di dasar laut Selat Inggeris berdekatan Guernsey malam tadi, demikian disahkan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom hari ini.

Namun, ia belum dapat dipastikan sama ada mangsa berkenaan adalah Sala atau juruterbang, David Ibbotson.

Pesawat ringan Piper Malibu dengan turbin tunggal itu dilaporkan hilang ketika melintasi Selat Inggeris dalam penerbangan dari Nantes ke Cardiff, 21 Januari lalu.

Pihak berkuasa pada mulanya gagal menemui sama ada sebarang kesan daripada pesawat berkenaan atau Sala mahupun Ibbotson.

Bagaimanapun, semalam, penyelaras satu gerakan mencari persendirian, David Mearns, mengesahkan bangkai pesawat itu sudah ditemui.

Satu kenderaan bawah laut dengan kawalan jauh (ROV) kemudian meneruskan gerakan mencari secara lebih lanjut di dasar laut berkenaan malam tadi dan rakaman video daripadanya menunjukkan mayat salah seorang penumpang masih berada dalam bangkai pesawat itu.

Satu kenyataan AAIB hari ini menyatakan: “Selepas memutuskan kawasan mencari yang khusus minggu lalu, AAIB bersetuju terhadap satu strategi mencari bersama Blue Water Recoveries Ltd untuk memaksimumkan peluang untuk bangkai pesawat itu ditemui.

“AAIB menugaskan sebuah kapal khas, Geo Ocean III, manakala Blue Water Recoveries Ltd menghantar kapal FPV Morven untuk meneruskan usaha mencari di kawasan terbabit yang bermula pada pagi Ahad, 3 Februari.

“Pada awal gerakan itu, kapal Morven mengenal pasti sesuatu di dasar laut di situ menggunakan peralatan imbasan sonarnya.

"Ia kemudian diserahkan kepada kapal Geo Ocean III untuk menggunakan ROV miliknya untuk membuat tinjauan lanjut di dasar laut di kawasan dimaksudkan,” katanya.

Rakaman video daripada ROV itu merakamkan jelas nombor pendaftaran N264DB pada badan pesawat malang itu.

"Hasil daripada analisis rakan video itu, penyiasat AAIB di atas kapal Geo Ocean III merumuskan ia adalah bangkai pesawat Piper Malibu yang dicari mereka berdasarkan nombor pendaftarannya.

"Kenderaan ROV itu meneruskan gerakan mencari sepanjang malam tetapi tidak menemui serpihak lain daripada pesawat berkenaan.

“Daripada rakam video ROV itu, (mayat) seorang mangsa jelas dapat dilihat di dalam bangkai pesawat.

“AAIB sedang menimbangkan langkah-langkah berikutnya daripada rundingan dengan keluarga kedua-dua mangsa dan pihak polis,” kata kenyataan itu lagi.

Penemuan itu dibuat 11 hari selepas Polis Guernsey memberhentikan gerakan mencari dan menyelamat pesawat itu yang membawa Sala, 28, untuk kembali ke Cardiff selepas dia mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sepasukannya di kelab Ligue 1, FC Nantes.

Advertisement

Must Watch Video