Skip to main content

Bola Sepak

MSN elak berparti -- Rakitic dedah kehidupan berkeluarga pemain Barca

-msn-avoid-partying-rakitic-enjoying-barca-s-family-culture.jpg
Trio bintang Barcelona, Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar bukan jenis kaki berparti sebagaimana dianggap oleh kebanyakan orang, menurut rakan sepasukan, mereka, Ivan Rakitic.

Messi, Suarez dan Neymar merupakan antara bintang dunia dan menikmati gaji lumayan, namun Rakitic menegaskan mereka tidak menggunakan status mereka untuk menikmati kehidupan malam di Barcelona. 

Pemain Croatia itu menyesuaikan diri bersama Barca sejak tiba dari Sevilla tiga tahun lalu dan mendedahkan budaya berkeluarga di kalangan pemain kelab itu. 

"Saya tahu kebanyakan orang menganggap dunia pemain bola sepak adalah mengenai populariti dan parti liar," katanya kepada Novi List. 

"Baru-baru ini, Suarez mengundang saya ke majlis sambutan hari jadinya yang ke-30, sambutannya sama seperti orang lain juga. 

"Kami membelinya hadiah, duduk bersembang, makan malam dan menikmati sedikit keseronokan, itu sahaja. 

"Dunia disuapkan dengan berita Messi, Suarez dan Neymar, tapi mereka juga seperti insan biasa. Tiada apa yang istimewa tentang mereka. 

"Majoriti pemain-pemain Barca, termasuk Messi, Suarez dan saya, adalah jenis berkeluarga dan mengelak parti dan bar."

Rakitic turut mendedahkan pemain Barca kebanyakannya bermain 'Ludo' (permainan seperti Saidina) sebagai hiburan semasa perlawanan di tempat lawan. 

"Apabila kami ke tempat lawan, kami sentiasa bermain Ludo dan membuat jenaka sesama sendiri," katanya. 

"Pepe Costa (penasihat kelab), Messi, Suarez dan (Javier) Mascherano membentuk sebuah pasukan; (Andres) Iniesta, (Sergio) Busquets, (Jordi) Alba dan saya membentuk pasukan kedua. 

"Ia mula diperkenalkan dalam tahun terakhir Pep Guardiola. Ia menyeronokkan, ia aktiviti yang lebih baik berbanding anda hanya menyumbat telinga dengan muzik dan mengasingkan diri dengan rakan-rakan di dalam bas atau kapal terbang. 

"Baru-baru ini kami ke Qatar dan kami menghabiskan selama enam jam untuk bermain Ludo."

Advertisement

Must Watch Video