Selepas seminggu spekulasi mengenai perpindahannya ke Liga Super China (CSL), kapten Manchester United, Wayne Rooney, berkemungkinan tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan untuk aksi final Piala EFL berdepan Southampton, esok.
Penyerang berusia 31 tahun itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke China yang bakal ditutup pada Selasa minggu hadapan.
Bagaimanapun, dia telah menyatakan hasratnya, Khamis lalu, untuk terus kekal bersama United.
Dengan Henrikh Mkhitaryan bakal diketepikan kerana mengalami kecederaan, penjaring terbanyak United itu berkemungkinan beraksi di Stadium Wembley walaupun gagal menarik perhatian Jose Mourinho.
"Saya perlu membuat keputusan," kata pengendali dari Portugal itu mengenai ketersediaan Rooney bagi aksi final Piala EFL.
"Secara kebiasaannya, kami bermain dengan dua sistem yang berbeza. Kadangkala kami bermain dengan dua pemain tengah dan seorang pemain nombor 10. Ada kalanya kami menurunkan seorang pemain nombor enam dan dua pemain tengah.
"Tanpa khidmat Mkhitaryan, jika kami mahu menggunakan sistem yang melibatkan pemain nombor 10, semestinya saya akan menurunkan Rooney. Perlawanan aksi adalah perlawanan yang istimewa dan dia adalah antara pemain pilihan saya."
Jose Mourinho on what winning the #EFLCup would mean to him and to #MUFC... pic.twitter.com/WSvG3uMRdu
— Manchester United (@ManUtd) February 24, 2017