Jose Mourinho memberikan penghargaannya kepada Zlatan Ibrahimovic selepas penyerang itu meledak dua gol untuk membantu Manchester United menjuarai Piala EFL, malam tadi.
United memenangi aksi yang penuh dramatik di Stadium Wembley itu apabila menewaskan Southampton 3-2, dengan Ibrahimovic tampil sebagai wira The Red Devils apabila menanduk masuk hantaran silang Ander Herrera pada minit ke-87.
Pemain berusia 35 tahun itu, yang kini telah menjaringkan 26 gol dalam semua pertandingan musim ini, membuka jaringan menerusi sepakan percuma sebelum Jesse Lingard menggandakan kelebihan United.
Penyerang Southampton, Manolo Gabbiadini, menjaringkan dua gol yang memaksa United untuk bekerja keras sehingga penghujung perlawanan.
"Zlatan telah memenangkan perlawanan ini untuk kami, dia adalah seorang pemain yang luar biasa," jelas Mourinho.
"Terdapat beberapa pemain yang dapat menyamai prestasi Paul Pogba tetapi Zlatan berada di tahap yang berbeza, dia menggunakan pengalamannya dengan sebaik mungkin untuk membantu kami memenangi perlawanan ini.
"Southampton berhak beraksi di masa tambahan, mereka tidak berhak untuk tewas dalam tempoh 90 minit, Zlatan telah menghukum mereka dan membantu kami menjulang trofi ini."
United masih lagi bersaing di dalam Piala FA dan Liga Europa (UEL) dan berpeluang untuk meraih gelaran 'treble' jika berjaya memenangi kedua-duanya.? CAMPEONES, CAMPEONES, OLE, OLE, OLE! ? pic.twitter.com/xsNMW6WsOe
— Manchester United (@ManUtd) February 26, 2017
Mourinho berasakan kemenangan ini sebagai persiapan mereka menghadapi perlawanan akan datang.
"Tiada apa yang lebih manis dalam perkembangan pasukan dengan kejayaan menjulang trofi.
"Kami akan berdepan Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Rostov dalam UEL dan Chelsea bagi saingan Piala FA.
"Saya berasakan pasukan lawan lebih segar berbanding kami. Kami berkemungkinan berdepan masalah jika perlawanan berlarutan ke masa tambahan."