Skip to main content

Bola Sepak

Moura dapat lampu hijau tentukan hala tuju

lucas-moura.jpg
Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, menggalakkan Lucas Moura supaya mencari hala tuju baru dalam jendela perpindahan bulan ini. 

Penampilan pemain Brazil itu hanya terhad kepada lima aksi gantian dalam Ligue 1 musim ini berikutan kehadiran Neymar dan Kylian Mbappe.

Minggu ini, Lucas menganggap penampilan terhadnya merupakan tamparan kejam dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk Manchester United, Arsenal dan Tottenham Hotspur, dikatakan sedang memantau situasinya.

Emery mengesahkan kelab itu akan mendengar tawaran daripada pihak yang berminat terhadap khidmat pemain berusia 25 tahun terbabit. 

"Saya memberitahu Lucas apa yang saya fikirkan dengan penuh rasa hormat. Dia tidak lagi mempunyai peluang bermain di Paris dan dia akan memperoleh peluang yang lebih besar di tempat lain," kata pengurus itu dalam sidang akhbar malam tadi. 

PSG bertekad untuk bangkit susulan kekalahan 2-1 kepada Lyon tempoh hari apabila bakal menghadapi Guingamp dalam kempen Coupe de France, awal pagi esok.

Pertahanan, Dani Alves, dibuang padang dalam perlawanan itu selepas membantah keputusan pengadil, lalu Emery menuntut pemain Brazil yang berpengalaman luas itu agar tidak begitu terbawa-bawa dengan perasaan pada masa hadapan sekalipun dia berasakan kad merah itu adalah tindakan yang keras. 

"Saya mahu pemain yang mempunyai semangat yang tinggi dan bermain mengikut akal," katanya. "Jika anda bermain dengan kekurangan pemain, ia tidak bagus. Anda perlu mencari keseimbangan yang betul dalam pasukan.

"Dani seorang pemain pintar, dia mempunyai pengalaman, dia bermain dengan sepenuh hatinya. Dia perlu seimbang dalam situasi seperti itu.

"Kami sedar pemain seperti itu mempunyai watak. Kalau pengadil berbeza, mungkin dia mengeluarkan kad kuning."
 

Advertisement

Must Watch Video