Skip to main content

Bola Sepak

Morata kini milik The Blues

22717morata2.png
Chelsea telah menyempurnakan perpindahan penyerang, Alvaro Morata, dengan kontrak selama lima tahun.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu tiba dengan nilai perpindahan yang dilaporkan sebanyak GBP78 juta (RM434 juta) selepas mereka gagal untuk mendapatkan Romelu Lukaku yang telah menyertai Manchester United dari Everton dengan nilai perpindahan GBP75 juta (RM417 juta).

Andrea Belotti (Torino), Pierre-Emerick Aubameyang (Borussia Dortmund) dan Sergio Aguero (Manchester City) merupakan antara sasaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selepas pengendali pasukan, Antonio Conte, menjelaskan bahawa Diego Costa tiada di dalam perancangan beliau.

Conte dan Morata tidak dapat bekerjasama di Juventus apabila bekas pengurus The Old Lady itu berkhidmat untuk Itali pada Julai 2014 tetapi pemain berusia 24 tahun itu kini bakal mengetuai jentera serangan dalam membantu pasukan mempertahankan kejuaraan.

"Saya sangat gembira kerana dapat bersama pasukan ini," kata Morata.

"Ia merupakan satu kebanggaan kerana dapat menyertai kelab ini.

"Saya mahu bekerja keras, menjaringkan banyak gol dan menjuarai piala bersama pasukan."

Morata kembali ke Real Madrid dari Juventus bagi saingan musim 2016-17 dan menjaringkan 15 gol dalam 26 penampilan buat juara Sepanyol dan Eropah itu walaupun sekadar membuat 14 penampilan.

Dia merupakan pemain ketiga yang dibawa masuk oleh Conte selepas pertahanan, Antonio Rudiger (Roma) dan Tiemoue Bakayoko (Monaco). Chelsea juga mendapatkan khidmat Willy Caballero dari Manchester City sebagai penjaga gol sandaran.

"Kami sangat gembira untuk menyempurnakan perpindahan Morata dan menerima baik kehadirannya untuk kelab," kata pengarah teknikal Chelsea, Michael Emenalo. 

"Kami percaya dia mampu memberikan impak yang besar buat Chelsea dan tidak sabar melihat penyerang ini beraksi. Morata telah membuktikan di pentas tertinggi dan kualitinya akan menjadi aset utama pasukan."

Advertisement

Must Watch Video