Skip to main content

Bola Sepak

Mora terkilan gagal pertahan dua gol

benjamin-mora_2.jpg
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Benjamin Mora, melahirkan rasa terkilan selepas pasukannya diikat Terengganu 2-2 dalam aksi Liga Perdana di Kuala Terengganu, malam tadi.

Mendahului dua gol menerusi jaringan awal Alaxender Moreton Smith (m-4) dan Mohd Syazwan Andik (m-10), JDT II gagal mempertahankan kelebihan itu, sebaliknya hampir pulang dengan tangan kosong gara-gara kebangkitan lewat tuan rumah.

Menurut Mora, mereka menamatkan 45 minit pertama mengikut apa yang dirancang, malangnya pemain-pemainnya hilang tumpuan pada separuh masa berikutnya.

“Terengganu berjaya memberi kami masalah dengan beraksi lebih baik, malah menghukum kesilapan individu pemain-pemain saya.

“Prestasi penjaga gol (Samuel Somerville) cukup cemerlang malam ini (semalam) menafikan percubaan-percubaan Terengganu,” tambah Mora.

Kembali ke JDT II selepas dinaikkan pangkat ke JDT, Januari lalu, pengendali kelahiran Mexico itu berhasrat membuat pembaharuan dalam usaha memburu kedudukan lebih baik dalam liga.

Ujar Mora lagi, pemain-pemainnya perlu bekerja lebih keras serta mengurangkan kesilapan, terutama ketika bertemu lawan yang lebih baik.

“Bertemu pasukan kedua liga dan meraih satu mata adalah keputusan yang positif.

“Berbekalkan semangat tinggi pemain-pemain muda ini, saya mahu membawa JDT II ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Advertisement

Must Watch Video