Skip to main content

Bola Sepak

Milinkovic-Savic sedia tolak pinangan kelab gergasi

sergej-milinkovic-savic.jpg
Pemain tengah Lazio, Sergej Milinkovic-Savic, menegaskan bahawa dia tidak memikirkan perpindahan pada jendela perpindahan bulan ini. 

Pemain berusia 22 tahun itu telah meletakkan dirinya sebagai sebahagian watak penting pasukan kendalian Simone Inzaghi itu, dengan menyumbat lima gol dalam 17 penampilan Serie A musim ini untuk meletakkan Lazio di tangga kelima selepas 18 perlawanan.

Persembahannya telah mencetus minat beberapa kelab Eropah, termasuk pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester United.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Serbia itu berkata fokusnya adalah membantu Lazio dalam cabaran mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok atas selain kembali dalam kancah Liga Juara-Juara (UCL), musim depan.

"Banyak yang telah saya capai dalam tempoh setahun ini, saya ingin meneruskannya dengan kejayaan yang sama pada 2018," katanya kepada Novosti.

"Sebelum setiap sesi latihan dan setiap perlawanan, saya memberitahu diri sendiri bahawa hari ini adalah hari yang tepat untuk memperbaiki prestasi dan saya benar-benar mahu melakukannya sebaik mungkin pada tahun ini.

"Pada masa ini, saya hanya memberi tumpuan kepada perlawanan membabitkan Lazio dan Serie A agar saya bertambah baik dalam soal kualiti. Ini satu bukti terbaik bahawa semua kelab Itali masih memburu tiket UCL atau Liga Europa.

"Di kelab, kami mempunyai objektif yang jelas, kami mahu setidak-tidaknya menamatkan saingan di tangga keempat kerana musim depan, empat kelab Serie A akan layak ke UCL.

"Saya tidak terlintas untuk meninggalkan Lazio kerana saya sangat gembira di Rom," katanya lagi.

Milinkovic-Savic juga mengakui ia merupakan bonus untuk bermain dalam liga yang sama di samping adiknya, Vanja, yang menyertai Torino dari Legia Gdansk pada Julai lalu.

"Ia merupakan makna besar kerana Vanja rapat dengan saya, kami saling menyokong dan cuba meniupkan motivasi di antara satu sama lain."
 

Advertisement

Must Watch Video