LIGA INGGERIS
Mignolet penjaga gol utama Liverpool -- Klopp
Jurgen Klopp mengesahkan Simon Mignolet akan kembali membarisi kesebelasan utama Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris seterusnya berdepan Manchester City selepas direhatkan ketika berdepan Arsenal, malam tadi.
Klopp memberi peluang kepada penjaga gol kedua, Loris Karius, untuk menjaga gawang buat kali pertama sejak Disember lalu dengan Danny Ward diletakkan selaku penjaga gol gantian.
Timbul laporan bahawa penjaga gol Belgium itu kurang berpuas hati dengan keputusan Klopp untuk merehatkannya, namun dinafikan pengendali pasukan itu.
Iklan
Mignolet memuat naik kenyataan di Twitter menyuarakan tanda sokongan kepada The Reds sebelum mereka memalukan Arsenal 4-0 dan Klopp memberi jaminan Mignolet akan kembali mengisi slot penjaga gol no.1 pasukan apabila mereka berdepan Manchester City sebaik pulang daripada cuti aksi antarabangsa.
"Jika tiada apa-apa, Mignolet akan beraksi berdepan Manchester City, ini jaminan saya 100 peratus," kata Klopp selepas tamat perlawanan di Anfield.
"Tekanan yang dihadapi penjaga gol tidak sama seperti pemain. Mereka tidak menghadapi tekanan fizikal, sebaliknya mental. Di awal musim lagi, kami berhasrat untuk membentuk tiga penjaga gol yang hebat.
"Ini bermakna tidak boleh ada perbezaan antara penjaga gol pertama, kedua dan ketiga. Simon penjaga gol utama kami tetapi sukar untuk menentukan siapakah pilihan kedua.
"Simon telah beraksi cemerlang setakat ini, dia berjaya merebut jersi no.1 ketika aksi pra-musim. Dia seorang pemain yang boleh diharapkan.
"Saya memberitahu Si(mon) semalam kerana saya mahu dia berehat.
"Saya mahu Loris di gawang. Dia bermain dengan tenang meskipun kadang kala dia terlalu tenang dan terlalu lama memegang bola."
Must-Watch Video