Skip to main content

Bola Sepak

Messi tetap terbaik sepanjang zaman tanpa Piala Dunia

messi-di-maria-cropped_t7he9t2o872d1xtuf2hdcgwug.jpg
Lionel Messi tetap muncul pemain terbaik sepanjang zaman walaupun sekiranya dia gagal menjulang Piala Dunia dan perkara itu disuarakan oleh rakan sepasukan dalam skuad Argentina, Angel Di Maria.

Ahad lalu, Messi mencatat satu lagi sejarah baru apabila mengatasi rekod Gerd Muller dalam senarai penjaring gol terbanyak buat sebuah pasukan dalam lima liga terhebat Eropah, selepas menyempurnakan sepakan percuma ketika membantu Barcelona menundukkan Real Sociedad 4-2.

Jaringan itu menyaksikannya kini meraih 366 gol hasil daripada 400 perlawanan dan Di Maria yakin rakannya itu tetap muncul pemain terbaik sepanjang zaman walaupun jika gagal menjulang trofi paling agung dalam bola sepak, Piala Dunia.

"Messi sudah pun muncul sebagai pemain terbaik yang pernah wujud dan memenangi Piala Dunia hanya akan menyokong fakta tersebut.

"Argentina sentiasa menjadi pilihan kejohanan dan ia tidak akan berubah pada tahun ini. Perkara itu disebabkan kehadiran Messi dalam skuad dan Argentina tetap pasukan elit bersama Perancis dan Sepanyol," kata Di Maria.

Walaupun Argentina dibarisi ramai pemain bintang, laluan mereka untuk ke Russia 2018 terpaksa disahkan pada hari terakhir peringkat kumpulan pusingan kelayakan apabila hatrik Messi membenam cabaran Ecuador 3-1, Oktober lalu.

"Kami harus terus bekerja keras tetapi pusingan akhir Piala Dunia sentiasa berbeza berbanding ketika aksi kelayakan.

"Kami berharap dapat menjulang Piala Dunia tahun ini dan kami juga mampu melakukannya dalam edisi Qatar 2022," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video