Skip to main content

Bola Sepak

Messi, Suarez bantu Barca berkelebihan 11 mata

1_9.jpg
REAL BETIS 0 BARCELONA 5

Lionel Messi dan Luis Suarez masing-masing menjaringkan dua gol untuk memastikan Barcelona meraih kemenangan 5-0 ke atas Real Betis dalam LaLiga di Benito Villamarin, awal pagi tadi.


Betis berjaya mengikat kedudukan 0-0 dalam separuh masa pertama, namun tidak dapat mengekang penguasaan Barca yang membuka jaringan menerusi Ivan Rakitic pada minit ke-59 sebelum Messi dan Suarez mempamerkan penyudah cemerlang.

Keputusan itu membawa skuad Ernesto Valverde itu berkelebihan 11 mata di tangga teratas liga, dengan Atletico Madrid terikat 1-1 dengan Girona dan Valencia tewas 1-2 di Las Palmas.

Betis memenangi dua perlawanan terdahulu menerusi lapan jaringan dan mereka kekal dengan pendekatan berani menyerang di bawah jurulatih, Quique Setien, pada 45 minit pertama.

Penguasaan Barca berkembang walaupun kehilangan Thomas Vermaelen akibat kecederaan pada hujung separuh masa pertama dan mereka berhak mendahului perlawanan hasil jaringan bekas kapten Sevilla, Rakitic.

Messi kemudian meledak selepas menerima hantaran Sergio Busquets dan selepas itu, Suarez menyudahkan hantaran lintang Rakitic untuk pelawat mengecewakan penyokong tuan rumah.

Ketika perlawanan berbaki 10 minit, Messi mengawal bola dengan baik untuk memasuki kotak penalti sebelum melakukan rembatan rendah ke arah kiri gawang. 

Sembilan minit kemudian, dia melakukan perkara sama, namun membuat lorongan untuk Suarez melengkapkan kemenangan 5-0 Barca.

Advertisement

Must Watch Video