Penyerang Napoli, Dries Mertens, mendedahkan dia telah menolak tawaran lumayan daripada kelab Liga Super China kerana enggan mengecewakan ibu-bapanya.
Pemain Belgium itu berada pada tahap terbaiknya musim ini, menjaringkan 20 gol dalam semua kejohanan, dengan Napoli dalam misi merapatkan jurang dengan Juventus dalam Serie A.
Pasukan di China memegang reputasi sebagai pemancing utama dalam mendapatkan pemain bernama besar di serata dunia ekoran menawarkan gaji lumayan.
Carlos Tevez, Oscar dan Hulk adalah antara yang telah berhijrah ke China tahun lalu, namun Mertens mendakwa dia memilih untuk menolak tawaran itu kerana menghormati ibu-bapanya.
"Ayah saya memandu bas dari Anderlecht, dia menghantar saya untuk berlatih di Brussels setiap hari daripada saya berusia 11 hinggalah 18 tahun," Mertens berkata kepada La Libre.
"Saya sangat menghormati pengorbanan mereka. Mereka tidak membesarkan saya untuk bercakap soal duit -- mereka akan kecewa jika saya ke China."
Tanpa mendedahkan nilai kontrak tersebut, Mertens mengakui jumlah ditawarkan nyata sukar untuk ditolak.
Katanya: "Kami menilai segala keburukan dan kebaikan, isteri saya juga membaca testimonial mereka yang hidup di sana, kemudian kamu mendapat tahu tentang jerebu dan asap tebal yang melanda negara itu.
"Jadi, saya memutuskan untuk menolak tawaran mereka, saya mengaku sukar untuk melakukannya."