Penyerang import Melaka United, Sergio Aguero, masih tidak dapat diturunkan menentang Pahang di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Hal ini berikutan pemain kelahiran Argentina itu belum pulih daripada kecederaan.
Jurulatih Melaka United, Eric Williams, tidak mahu mengambil risiko menurunkan Aguero dalam keadaan pemain berkenaan masih belum pilih sepenuhnya.
"Apapun semua akan dinilai pada saat akhir menjelang perlawanan, jika tidak pastinya barisan sama berdepan Kelantan akan dikekalkan dan saya berharap pemain mampu beraksi pada tahap terbaik.
"Walaupun tidak memiliki rehat yang mencukupi berikutan jadual padat, saya yakin mereka mampu untuk bertindak cemerlang seperti mana aksi kemenangan berdepan Kelantan tempoh hari,” katanya ketika ditemui di Stadium Hang Tuah, semalam.
Menurutnya lagi, Aguero akan diturunkan dalam perlawanan menentang Black Panthers di Stadium Bandaraya, Rabu depan.
Eric berharap agar anak buahnya bijak menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri untuk beraksi dengan lebih berbisa dalam misi mempertahankan benteng dan sekali gus mengutip tiga lagi mata.