Skip to main content

Bola Sepak

Melaka perlu lebih konsisten -- Zainal

asiana-58478.jpg
Melaka akan memperbaiki permainan pasukannya bagi memastikan keseluruhan pemain skuad itu kekal konsisten dalam keseluruhan 90 minit perlawanan, kata ketua jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan.

Katanya, biarpun meraih kemenangan sulung menewaskan Petaling Jaya City FC (PJCFC) 2-1 malam tadi, beliau melihat pemainnya gagal mengekalkan rentak permainan dan terus tertekan dalam separuh masa kedua hingga melakukan kesilapan dan seterusnya memberi ruang kepada pelawat menguasai permainan.

"Dalam separuh masa kedua, kami dapat tentangan sengit dan pihak lawan mengandakan asakan, namun kami tidak mengubah tempo.

"Ini yang perlu kami ambil perhatian dan berhati-hati selain perbaiki permainan di minit ke-46 hingga 90 untuk kekal bertenaga dalam tempoh keseluruhan perlawanan.

"Paling mustahak dalam aksi pertama ini ialah mengutip tiga mata. Displin pemain harus dipuji walaupun melakukan kesilapan hingga membenarkan lawan membuat gol, seterusnya menyebabkan kami tertekan tetapi berjaya bertahan untuk menang," katanya.

Terdahulu, dalam perlawanan itu, Melaka United mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama menerusi Liridon Krasniqi pada minit ke-36 dan Anselmo Casagrande lapan minit kemudian.

Namun, PJCFC lebih menguasai permainan dalam babak kedua sehingga memperoleh gol pada minit ke-58 menerusi R. Barathkumar.

Zainal Abidin berkata Melaka akan terus memperbaiki kelemahan untuk memastikan pemain dapat mengekalkan displin dan rentak dalam 90 minit permainan dalam aksi Liga Super seterusnya bertemu PKNS di tempat lawan minggu depan.

Sementara itu, ketua jurulatih PJCFC, K. Devan, berkata beliau optimis dengan kemampuan anak-anak buahnya akan bertambah baik dalam aksi akan datang dan akan mengunakan tempoh masa yang ada sebelum perlawanan menentang Selangor minggu depan untuk meningkatkan prestasi pasukan.

"Bagi saya, kejayaan mengawal permainan dalam separuh kedua di tempat lawan menunjukkan kami mempunyai kualiti. Namun, rata-rata pemain kurang pengalaman beraksi dalam Liga Super dan mereka memerlukan sedikit masa lagi untuk bertambah serasi.

"Saya nampak mereka begitu gementar dalam separuh masa pertama. Mereka hilang konsistensi dan fokus akibat rasa gementar sehingga membenarkan Melaka United menjaringkan dua gol. Kami akan mengatasi masalah ini dan akan meningkat keserasian antara pemain," katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video