Legenda Argentina, Diego Maradona, meluahkan rasa terujanya setelah dilantik selaku duta badan induk bola sepak dunia, FIFA.
Bekas juara Piala Dunia 1986 itu sebelum ini sering kali mengkritik bekas presiden FIFA, Sepp Blatter, yang meninggalkan jawatannya kerana terlibat dalam skandal rasuah pada tahun 2015.
Maradona memuat naik mesej di laman Facebook miliknya sambil bergambar dengan Presiden FIFA, Gianno Infantino, dan berkata watak barunya itu bagaikan impian menjadi kenyataan.
"Segalanya sudah rasmi," ujar Maradona. "Akhirnya saya dapat memenuhi impian untuk bekerja dengan sebuah badan yang bebas daripada rasuah bersama-sama individu yang benar-benar menyayangi sukan bola sepak.
"Terima kasih kepada semua yang telah memberi galakan kepada saya untuk menghadapi cabaran terbaru ini!"
Maradona telah diberi penghormatan untuk menyampaikan anugerah Pengurus Terbaik kepada Claudio Raneiri dalam majlis Anugerah FIFA, 9 Januari lalu.